KUALA LUMPUR – Kabinet telah memberikan persetujuan secara dasar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memulakan proses penggubalan Rang Undang-Undang Tahanan Rumah, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut Saifuddin, matlamat asal undang-undang berkenaan adalah bagi mengurangkan kesesakan penjara dan memastikan sistem koreksional negara dapat diurus dengan lebih berkesan.
“Semalam saya ditanya oleh rakan-rakan media tentang Akta Tahanan Rumah, saya jelaskan dengan terang bahawa cadangan Akta ini adalah untuk tahanan reman yang majoriti memenuhi penjara.
“Cadangan mewujudkan Akta Tahanan Rumah bukan perkara baharu.
“Sejak 2024, saya telah membawa cadangan ini sebagai antara ikhtiar KDN untuk menangani isu kesesakan penjara, khususnya melibatkan tahanan reman yang masih menunggu proses perbicaraan,’’katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Akta Tahanan Rumah hangat diperkatakan selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada bekas Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat-syarat yang ditetapkan.
Berdasarkan keputusan itu, Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028 sekiranya denda RM50 juta dibayar, manakala jika denda berkenaan tidak dibayar, tarikh pembebasan ialah 23 Ogos 2029.
Saifuddin berkata berdasarkan keputusan Lembaga Pengampunan terdahulu, pihaknya menerima pemakluman rasmi berhubung pengurangan hukuman penjara Najib kepada enam tahun daripada 12 tahun serta pengurangan denda kepada RM50 juta daripada RM210 juta
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, ketika ini 41 penjara di seluruh negara menempatkan kira-kira 93,000 penghuni, sedangkan kapasiti keseluruhannya adalah sekitar 75,000 orang.
Keadaan ini, katanya menunjukkan mengapa negara memerlukan pendekatan baharu yang praktikal, selamat dan terkawal untuk mengurangkan tekanan terhadap institusi penjara.
“Konsep yang kita bincangkan sejak awal adalah jelas iaitu bagi tahanan reman yang memenuhi syarat, mahkamah boleh mempertimbangkan penempatan mereka di rumah dengan pemantauan menggunakan peranti elektronik sehingga tarikh perbicaraan.
Kes-kes jenayah berat pula, katanya memang telah dikenal pasti untuk dikecualikan daripada mekanisme ini. – 20 September, 2026
