KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah yang difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim, akhirnya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi hari ini selepas pemimpin Pas itu bertindak menarik balik kenyataan fitnahnya.
Peguam Datuk SN Nair yang mewakili Anwar selaku plaintif, memaklumkan kepada Hakim Roslan Mat Nor bahawa kes itu telah diselesaikan dengan persetujuan pihak-pihak terhadap terma yang dipersetujui.
“Kedua-dua pihak ingin merekodkan terma-terma yang dipersetujui. Sehubungan dengan itu, plaintif menarik balik tindakan guaman ini tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.
“Kedua-dua pihak melampirkan satu salinan kenyataan awam yang telah dipersetujui bersama dengan usul persetujuan ini. Kami mengucapkan terima kasih kepada mahkamah dan rakan-rakan bijaksana. Saya mohon mahkamah melapangkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan,” kata peguam itu.
Peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Awang Solahuddin turut mengesahkan penyelesaian berkenaan di hadapan mahkamah.
Ekoran perkembangan itu, Hakim Roslan membatalkan kes saman tersebut tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula, sekali gus melapangkan tarikh perbicaraan yang sepatutnya berlangsung pada 26 hingga 29 Oktober 2026.
“Mahkamah mengucapkan terima kasih kepada pihak plaintif (Anwar) dan defendan (Awang Solahuddin) atas kesediaan masing-masing untuk menyelesaikan kes ini secara baik dan kesudian plaintif menarik balik kes ini,” kata hakim itu.
Gencatan senjata demi negara
Berdasarkan kenyataan awam bersama yang diperoleh media, kedua-dua pihak bersetuju menamatkan pertikaian itu secara muktamad selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kos litigasi, serta menyedari wujudnya perkara yang lebih besar dan penting untuk diberi keutamaan demi kepentingan rakyat dan negara.
Kenyataan itu mengesahkan bahawa Awang Solahuddin secara terbuka dan tanpa sebarang keraguan telah menarik balik dakwaannya yang dibuat pada 21 Februari 2023.
“Awang Solahuddin dengan rendah diri, tanpa sebarang keraguan, menarik balik segala kenyataan yang dibuat olehnya pada atau sekitar 21 Feb 2023, yang menjadi asas kepada tindakan guaman itu serta bersetuju untuk tidak mengulangi atau menerbitkan semula apa-apa kenyataan yang sama atau yang mempunyai maksud yang serupa pada masa hadapan,” petik kenyataan awam berkenaan.
Kenyataan itu turut menambah: “Kedua-dua pihak juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada hakim serta pegawai mahkamah yang terlibat atas profesionalisme, kebijaksanaan dan kecekapan mereka sepanjang pengendalian prosiding itu.
“Kedua-dua pihak berharap penyelesaian ini diterima dan dihormati oleh semua pihak sebagai suatu penyelesaian yang baik dan agar perkara ini tidak lagi dipolemikkan atau dijadikan bahan yang boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan serta kestabilan negara.”
Kontroversi tersebut tercetus pada 3 Mac 2023 apabila Anwar memfailkan saman fitnah susulan kenyataan Awang Solahuddin di lobi Parlimen semasa persidangan Dewan Rakyat pada 21 Februari 2023.
Kenyataan yang dirakam dalam format audio dan video itu mendakwa Anwar menyalahguna kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mencampuri serta memberi arahan sewenang-wenangnya kepada agensi penguatkuasa dan pendakwaan demi agenda politik peribadi—dakwaan yang menurut Anwar telah merosakkan reputasinya di peringkat tempatan dan antarabangsa. – 23 September, 2026
