◉ HEADLINES

BFM diarah bayar RM358,400 pada bekas penyampai selepas dibuang kerja tanpa sebab adil

Pada 24 Disember 2018, Umapagan K Ampikaipakan, diberikan notis tunjuk sebab dan perkhidmatannya ditamatkan berkuat kuasa serta-merta pada 4 Januari 2019

12:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Perusahaan mengarahkan sebuah stesen radio swasta, BFM Media Sdn Bhd membayar RM358,400 kepada bekas penerbit dan penyampainya selepas mendapati dakwaan gangguan seksual serta perlakuan tidak wajar yang digunakan untuk memecatnya, tidak dapat dibuktikan.

Pada 24 Disember 2018,  Umapagan K Ampikaipakan, diberikan notis tunjuk sebab dan perkhidmatannya ditamatkan berkuat kuasa serta-merta pada 4 Januari 2019.

Dalam penghakiman setebal 98 muka surat bertarikh 21 September, Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Pravin Kaur Jessy, berkata mahkamah memutuskan bahawa Umapagan telah dibuang kerja tanpa sebab atau alasan yang adil.

Bagaimanapun, mahkamah menolak untuk memerintahkan jawatannya dikembalikan semula kerana lebih tujuh tahun berlalu sejak pemecatannya dan hubungan pekerjaan antara kedua-dua pihak telah terjejas.

Sebaliknya, mahkamah memberikan Umapagan pampasan RM51,200 sebagai pampasan mengikut gantian pengembalian semula bekerja dan RM307,200 sebagai bayaran gaji tertunggak, menjadikan keseluruhan jumlah RM358,400.

Pravin berkata syarikat itu mempunyai alasan untuk menyiasat dakwaan tersebut namun bukti yang dikemukakan tidak mencukupi untuk membuktikan salah laku terhadap Umapagan berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Mahkamah kata Parvin, mendapati beberapa dakwaan terhadap Umapagan tidak tepat, tidak pasti dari segi atribusi, tidak lengkap dari segi dokumentasi dan tidak diuji dalam aspek-aspek penting.

“Kecurigaan mungkin menjadi alasan untuk siasatan. Kebimbangan mungkin menjadi alasan untuk berhati-hati. Namun, kecurigaan mahupun kebimbangan tidak boleh menggantikan bukti.

“Mahkamah tidak boleh menyamakan alasan untuk menjalankan siasatan dengan bukti salah laku, khususnya apabila dakwaan gangguan seksual boleh membawa kesan serius terhadap reputasi, maruah dan mata pencarian seseorang pekerja,’’ katanya .

Kes itu bermula selepas satu e-mel tanpa nama, mendakwa berlaku gangguan seksual di BFM telah diedarkan pada November 2018. Syarikat tersebut melantik penyiasat luar untuk menyiasat dakwaan berkenaan.

BFM menegaskan syarikat itu bertindak berdasarkan hasil siasatan bebas dan perlakuan Umapagan merupakan gangguan seksual atau sekurang-kurangnya perlakuan tidak wajar dan tidak profesional.

Mahkamah turut mendapati Umapagan mengalami kerugian dari segi pembelaan kerana mesej-mesej asal dan identiti beberapa pengadu yang didakwa telah ditahan daripadanya.

Beberapa dakwaan hanya timbul selepas beliau ditemu bual oleh penyiasat dan beliau tidak diberikan peluang untuk menjawab dakwaan tersebut.

Menurut Pravin, peranan Mahkamah Perusahaan bukan sekadar menilai sama ada syarikat mempunyai asas munasabah untuk mengesyaki berlakunya salah laku.

“Mempunyai alasan munasabah untuk mengesyaki seseorang pekerja melakukan pelanggaran tidak melepaskan majikan daripada tanggungjawab membuktikan dakwaan apabila perkara itu dibawa untuk pengadilan di Mahkamah Perusahaan,” katanya.

Pravin berkata adalah “tidak dapat dipertahankan dari segi undang-undang” untuk mengharapkan seorang pekerja memberikan jawapan menyeluruh terhadap dakwaan yang kabur melibatkan pelatih atau rakan sekerja yang tidak dinamakan serta mesej yang didakwa dihantar beberapa tahun sebelumnya.

Mahkamah turut mendapati terdapat kelemahan pada beberapa tangkap layar yang dijadikan sandaran oleh BFM, termasuk ketiadaan mesej asal dan bukti yang mencukupi untuk mengaitkannya dengan penghantar atau penerima yang didakwa.

Peguam P Jayasingam, Thavaselvi Pararajasingam dan Eve Hong mewakili Umapagan, manakala Yong Hon Cheong dan S Sivagami mewakili BFM. – 24 September, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Harimau Malaya’s wage disparities: a closer look at local vs naturalised player income divide

Salaries for footballers have become a hot topic in the Malaysian football community, as foreign players consistently earn more than local players in their respective clubs.

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Sin Sze Si Ya Temple Pioneers of Kuala Lumpur Museum: a journey through history

If you are a local or a tourist looking for a starting point when visiting Kuala Lumpur, the Sin Sze Si Ya Pioneers of Kuala Lumpur Museum should be your first stop to understand the growth, development and community dynamics in this city.

◉ Related