◉ HEADLINES

‘Aku kecewa, malu dan dikhianati’ Peja luah kemarahan susulan kemelut terkini PN

Faizal Azumu berkata sesuatu yang dibina oleh mereka kini dalam kemelut yang lebih besar

2:06 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Faizal Azumu meluahkan kekecewaan, marah, malu dan berasa dikhianati susulan kemelut terbaharu Perikatan Nasional (PN) yang menerima notis tunjuk sebab oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan digantung semua aktiviti berkuatkuasa semalam.

Meskipun hantarannya di Facebooknya itu tidak menyatakan mengenai tindakan berkenaan, namun luahan hati Faizal atau lebih dikenali sebagai Peja, menyatakan kekecewaannya terhadap PN.

Menurutnya, sesuatu yang dibina bersama oleh mereka kini dalam kemelut yang boleh membawa kesan yang besar.

“Marah kerana, mereka bertopengkan kebaikan tetapi membuat onar yang merugikan diri mereka sendiri. Malu kerana, apabila mereka bercakap, bergegar bumi. Rupa-rupanya, kamu lemah. Bahtera perjuangan suci gagal dikemudi.

“Ketika pemimpin itu di atas, kamu tunduk, kamu hormat, kamu berkongsi segala nikmat, merasa bagaimana berkuasa.

“Ketika pemimpin itu di bawah, kamu pula mendongak, kamu bongkak dan khianat kepada tutur janji.

“Namun, kamu masih berlagak seumpama kamu maksum, tidak berdosa dan tidak akan sesekali melakukan dosa,’’ demikian tulisnya.

Terdahulu, RoS memberitahu notis yang dikeluarkan terhadap PN bukan keputusan membatalkan pendaftaran parti itu sebaliknya bagi memberi ruang kepada PN menjelaskan aduan yang dikemukakan Bersatu.

RoS memaklumkan notis di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] itu, dikeluarkan pada 22 September dan PN diberikan tempoh munasabah untuk menjawabnya.

Susulan notis tersebut, RoS memaklumkan perintah penggantungan juga telah dikeluarkan di bawah subseksyen 13(2A) Akta 832, yang menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa semalam.

Sebelum ini, RoS mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Bersatu dengan antaranya mengenai dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, parti itu telah mengemukakan lapan perkara pokok yang didakwa telah dilanggar dan tidak dihormati pimpinan PN ketika ini.

Sementara Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN tidak menolak kemungkinan tindakan notis tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadap gabungan itu adalah ‘natijah agenda berniat jahat’ dan tekanan politik yang memangsakan PN daripada pihak-pihak dari dalam dan luar,

Gabungan berkenaan, katanya, mengambil maklum keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengenai notis berkenaan namun tidak bersetuju dengan asas keputusan tersebut dan sedang mengambil langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia demi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangannya yang didokong oleh ahli-ahli dan penyokongnya. – 24 September, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

◉ Related