KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan bahawa bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini kini sedang berdepan krisis adab yang amat membimbangkan.
Baginda bertitah, keruntuhan sesebuah masyarakat sering bermula daripada keruntuhan nilai dan akhlak, apabila perbezaan pandangan tidak lagi diuruskan secara berhikmah, sebaliknya bertukar menjadi permusuhan, fitnah, dan sengaja membuka aib.
“Sangat mendukacitakan, malah bertambah mengaibkan, ketika ini, kita menyaksikan perbincangan dan perdebatan, yang lebih berbentuk pertelagahan tanpa adab, sedang dan semakin berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu dan umat Islam di negara ini,” titah Baginda tegas ketika mempengerusikan Mesyuarat MKI Kali Ke-75 di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.
Baginda turut menyelar sikap sesetengah pihak yang menyebarkan maklumat tanpa usul periksa demi kepentingan peribadi mahupun kelompok.
“Berita yang belum disahihkan, disebarkan tanpa menghiraukan dosa, aib dibuka, dan perbezaan pandangan bertukar menjadi permusuhan. Bangsa Melayu dan umat Islam sedang menghadapi krisis adab. Krisis adab tidak boleh dipandang sebagai perkara kecil kerana keruntuhan sesebuah masyarakat sering bermula dengan keruntuhan nilai dan akhlaknya,” titah Baginda.
Dalam titah yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, Sultan Nazrin mengingatkan bahawa amalan syura (bermusyawarah) mestilah dipandu dengan adab dan bukannya dijadikan pentas pertarungan politik atau melebihkan ego.
“Syura bukan ruang untuk bebas bercakap sesuka hati tanpa batas tanpa adab. Kebebasan bersuara bukanlah kebebasan untuk menghina, manakala perbezaan pendapat bukan alasan untuk menuduh, merendah-rendah, jauh sekali daripada menghina apatah lagi memfitnah orang lain,” tegas Baginda lagi.
Sultan Nazrin turut memberi peringatan khusus kepada para pemimpin agar tidak bersikap sombong mahupun merasakan diri mereka sentiasa benar.
“Perintah bermusyawarah, hendaklah dijadikan sandaran dan pedoman oleh para pemimpin agar tidak bersikap sombong, bongkak, angkuh dan riak; atau merasakan dirinya sahaja yang pintar dan benar,” titah Baginda.
Sambil menekankan keperluan menghidupkan semula adab dalam keluarga, institusi pendidikan hingga jentera pentadbiran, Baginda menegaskan bahawa kebenaran mesti sentiasa diangkat mengatasi sebarang kepentingan peribadi.
“Jika kita mahu ummah dihormati, suburkan ilmu dalam perbincangan. Jika kita mahu masyarakat bersatu, jagalah adab dalam perbezaan. Jika kita mahu kepimpinan diberkati, letakkan kebenaran mengatasi ego dan kepentingan diri,” titah Baginda mengakhiri ucapan. – 29 September, 2026
