◉ HEADLINES

1,476 tahanan warga Myanmar dihantar pulang menerusi tiga kapal laut

8:58 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seramai 1,476 warga Myanmar telah dihantar pulang semalam dalam fasa pertama Program Penghantaran Pulang Tahanan Warga Myanmar.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataannya berkata, penghantaran pulang itu dilaksanakan melalui jalan laut menggunakan tiga kapal Tentera Laut Republik Kesatuan Myanmar termasuk sebuah kapal hospital.

Menurut KDN, ia dijalankan menerusi penyelarasan dan kerjasama erat antara KDN, Jabatan Imigresen serta kementerian dan agensi berkaitan.

Operasi berkenaan dilaksanakan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

“Program ini merupakan sebahagian daripada persetujuan antara kerajaan Malaysia dan Myanmar untuk melaksanakan penghantaran pulang secara berperingkat melibatkan 5,000 tahanan warga Myanmar,’’ katanya.

KDN berkata, pelaksanaan secara teratur, selamat dan bertanggungjawab ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam menangani isu migrasi tidak teratur dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), di samping memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara terus terpelihara dengan mengambil kira aspek kemanusiaan yang sewajarnya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memastikan usaha menangani isu pelarian Myanmar dilaksanakan dengan mengutamakan keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia.

Jelas beliau, komitmen itu menjadi asas dalam usaha kerajaan menyelesaikan isu berkenaan secara tuntas termasuk menerusi kerjasama dengan Myanmar bagi penghantaran pulang pelarian secara sukarela dan berperingkat.

Anwar berkata kerajaan turut mengambil langkah lebih tersusun dalam menangani persoalan itu menerusi penguatkuasaan, penyelarasan antara agensi dan kerjasama dengan negara asal.

Pada 29 Julai, Anwar berkata Myanmar bersetuju menerima semula kira-kira 5,000 warganya yang ditahan di Malaysia susulan perbincangan antara kedua-dua negara.

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementerian telah mula mengenal pasti, mendokumentasikan dan menjalankan saringan terhadap tahanan berkenaan sebelum proses penghantaran pulang dilaksanakan.

Sehingga 15 Ogos, KDN memaklumkan seramai 10,388 warga Myanmar yang ditahan di depot tahanan Imigresen sedang menjalani pengesahan identiti, status imigresen dan latar belakang keselamatan. – 30 September, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related