◉ HEADLINES

Anwar arah siasatan segera, telus kes kematian pelajar 16 tahun di Yong Peng

Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar sentiasa terpelihara

12:37 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus susulan kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan 4 di dewan sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, petang semalam.

Sambil menzahirkan dukacita dengan berita kematian Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, Anwar berkata siasatan itu bagi mengenal pasti punca serta apa yang sebenarnya berlaku dalam kejadian berkenaan.

Jelasnya, jika terdapat unsur jenayah, tindakan tegas hendaklah diambil mengikut undang-undang.

“Saya amat berdukacita menerima berita pemergian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemui meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.

“Takziah kepada keluarga dan waris Allahyarhamah, moga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini,’’ katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Irene ditemui neneknya yang hadir ke sekolah selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah kira-kira jam 5.30 petang selepas menghadiri kelas bimbingan.

Mangsa dilaporkan ditemui dalam keadaan terbaring dan lemah di kawasan dewan sekolah. Pemeriksaan awal turut mendapati terdapat kesan darah kering pada tubuh mangsa.

Susulan itu, polis menahan tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan. Ketiga-tiga suspek yang dipercayai belajar di sekolah sama dengan ditahan beberapa selepas mayat Irene ditemui.

Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab bersama.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara,’’ katanya. – 4 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

◉ Related