◉ HEADLINES

Tiada siapa mengatasi perlembagaan : Azalina

Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi negara dan semua pihak juga tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan

10:56 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Adalah tidak wajar untuk menggambarkan pelaksanaan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan sebagai tindakan ‘mengatasi undang-undang’, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, dalam pelaksanaan pengampunan,  prinsip kedaulatan undang-undang tidak pernah dipertikaikan malah tiada individu, kerajaan atau institusi berada di atas undang-undang.

Tegasnya, Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi negara dan semua pihak juga tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan. 

“Kuasa pengampunan bukanlah kuasa di luar undang-undang kerana ia merupakan kuasa yang diperuntukkan secara nyata oleh Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. 

“Bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, Perkara 42 memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang diPertuan Agong serta menetapkan kerangka Lembaga Pengampunan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata demikian bagi menjelaskan beberapa perkara dari aspek undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan susulan kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Jumaat  berhubung pengampunan.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan itu menegaskan bahawa tiada siapa yang mengatasi undang-undang, dan sesiapa sahaja yang disabitkan kesalahan perlu menjalani hukuman mengikut lunas undang-undang seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Majlis Presiden PH  tegas  berdiri teguh  dengan pendirian Perdana Menteri, dan juga nasihat daripada Peguam Negara serta Menteri Wilayah  kepada  Lembaga Pengampunan pada semalam,’’ katanya.

Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Mengulas lanjut, Azalina memberitahu keputusan kehakiman dan proses pengampunan adalah perkara yang berbeza di mana mahkamah menjalankan fungsi kehakiman dalam menentukan kesalahan dan hukuman. 

Perkara 42 pula, katanya menyediakan mekanisme perlembagaan berhubung pengampunan, tunda hukuman atau lega hukuman.

Tambahnya, kewujudan kuasa pengampunan dalam Perlembagaan tidak bermakna keputusan mahkamah diketepikan atau seseorang individu berada di atas undang-undang. 

“Setiap institusi mesti bertindak dalam ruang kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan. Peranan Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan Menteri yang berkaitan hendaklah dilihat berdasarkan peruntukan Perkara 42 dan prosedur yang ditetapkan, bukan melalui tafsiran atau persepsi politik. 

“Kerajaan sebelum ini telah menjelaskan di Parlimen bahawa prosedur dan urusan sedia ada berkaitan Lembaga Pengampunan dilaksanakan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa,’’ katanya.

Justeru beliau meminta supaya semua pihak menghormati keputusan mahkamah, Perlembagaan dan proses yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. – 19 September, 2026

Topics

 

◉ Popular

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Axelsen confirms split from wife, just over a week after World Championships withdrawal

The Dane revealed the news on social media on Tuesday evening, saying the decision to part ways was made on amicable terms

◉ Related