◉ HEADLINES

Itu biadap! Awie anggap bayaran RM500 tak setimpal, penghinaan kepada artis veteran

Menurutnya, rasa hormat kepada artis veteran perlu ada kerana mereka bersusah payah berjuang dan berkarya demi menaikkan industri seni

2:22 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengarah, pelakon dan penyanyi, Datuk Awie menempelak tindakan segelintir penerbit yang sanggup memberikan bayaran tidak setimpal kepada artis veteran.

Menurutnya, rasa hormat terhadap artis veteran perlu ada kerana mereka terlebih dahulu bersusah payah berjuang dan berkarya demi menaikkan industri seni.

“Kalau tiada lama, tiada yang baru. Yang lama dah tebas jalan untuk laluan pada orang baharu.

“Rasa hormat itu kena ada, kalau tidak sayang. Kita ni Melayu, biar kita ni beradab,” katanya sewaktu ditemui di tayangan perdana dan sidang media filem Rebel: Berontak Untuk Berotak, lewat malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan pelawak Senario, Azlee Jaafar, 57, yang kecewa dengan tindakan segelintir pihak masih tidak memandang serius isu bayaran pelakon veteran.

Bahkan, Azlee juga mendedahkan, dia pernah ditawarkan untuk menjayakan watak penting dan produksi mahu memberikan bayaran rendah iaitu kira-kira RM500 sehari.

Pada masa sama, Awie turut menyifatkan perkara tersebut sebagai satu penghinaan dan perbuatan biadap terhadap golongan terbabit.

Awie (tengah) bersama barisan pelakon Rebel: Berontak Untuk Berotak ketika tayangan perdana filem tersebut malam tadi. – Gambar ihsan PR, 20 April, 2024

“Berikanlah wang setimpal dan selayaknya kerana dia juga insan seni yang satu ketika dahulu mak bapa kita suka dia. Kenapa kita nak bagi duit RM500 hanya kerana sebab dia dah tua. Eh… jangan, itu biadap. Saya sedih dengan perbuatan sebegini.

“Bagi saya, itu satu penghinaan kepada artis veteran. Kita tengoklah, artis veteran itu macam mana. Dia pernah jadi popular atau dia dulu sekadar (pelakon) extra (tambahan), bayaran banyak mana dia pernah dapat dahulu.

“Bayarlah dia mengikut harga atau nilai tertentu sesuai dengan level dan pencapaiannya. Pada saya, apa salahnya kita hormati orang dewasa. Anggap kita bersedekah dan membuat satu amal ibadah,” katanya.

Katanya, bukan mudah menjadi anak seni pada zaman dahulu.

“Zaman dahulu bukan macam zaman digital sekarang ini. Zaman dahulu, zaman analog. Zaman analog tidak ada telefon bimbit pintar yang boleh rekod semua benda sekarang ini. Tiada ada kamera yang canggih-canggih dan ketika itu mereka hidup sukar.

“Tapi sekarang, bila di zaman yang senang, kita tiba-tiba nak lupakan orang yang sudah menebas lalang-lalang dan mencabut duri keluar, sedangkan kita elok gunakan jalan bertar dan terus capai kejayaan.

“Tak fikir pun siapa yang buka jalan itu dulu. Cuba fikir mengenai perjuangan mereka dulu waktu nak naikkan industri ni. Contoh P Ramlee, dia bukan naikkan diri dia sahaja tapi industri juga… naikkan seni hiburan,” katanya. – 20 April, 2024

Topics

 

◉ Popular

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

◉ Related