◉ HEADLINES

Altimet bergabung dengan Zizi Kirana, Saixse dan Fahimi lancarkan lagu Anak Malaysia

Lagu Anak Malaysia itu dicetuskan untuk menyuntik semangat dan sokongan kepada kontinjen Malaysia dalam Sukan Olimpik 2024 di Paris

7:23 PM MYT

 


KUALA LUMPUR – Pernah mengumumkan persaraannya dalam bidang seni pada usia 40 tahun sebelum menceburi bidang politik pada 2021, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet kini kembali dengan projek lagu Anak Malaysia.

Altimet, 45, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya menjayakan projek lagu itu bersama artis popular lain seperti Zizi Kirana, Fahimi serta Saixse.

Lagu dinamik baharu ini dijangka mampu menyuntik semangat dan sokongan kepada kontinjen Malaysia yang bertanding pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, selain membakar dan menyemarakkan semangat ‘jiwa merdeka’ sempena Hari Kebangsaan.

Anak Malaysia ditulis dan digubah Iqie Hugh, Mage, Fahimi, Saixse dan Mambang manakala liriknya daripada Altimet sendiri.

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menggubah lirik nukilan Altimet adalah satu inovasi yang menarik dengan menggabungkan teknologi dan seni dalam produksi muzik moden.

Hasil campuran genre dan gaya yang menarik menjadikan lagu ini benar-benar mencerminkan semangat perpaduan dan tekad, serta mempamerkan jiwa semangat kebanggaan rakyat Malaysia.

Mengulas mengenai penglibatannya dalam lagu tersebut, Altimet berkata ia merupakan seruan semangat untuk atlet dan rakyat Malaysia.

“Ia lebih daripada sekadar nyanyian. Tidak kira di mana kita berada dan apa jua yang kita lakukan, kita akan sentiasa berbangga menjadi anak Malaysia,’’ katanya.

Sementara itu Zizi Kirana pula berharap Anak Malaysia akan menjadi sumber kekuatan untuk atlet negara pada Sukan Olimpik.

Manakala Mage, yang juga salah seorang penerbit lagu ini berkata, mereka mahu mencipta sesuatu yang bukan sahaja akan memberikan inspirasi kepada atlet tetapi mampu membangkitkan semangat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Anak Malaysia sudah dilancarkan di semua platform penstriman digital utama sejak 26 Julai lalu manakala video muzik yang diarahkan Fareez Nasir boleh ditonton menerusi saluran YouTube Faithful Music. – 29 Julai, 2024

Topics

 

◉ Popular

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

◉ Related