◉ HEADLINES

Tambang percuma sehala KTM Komuter Utara dari tiga stesen selama dua hari bermula Sabtu

9:16 PM MYT

 

IPOH – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan tambang percuma sehala selama dua hari untuk pengguna KTM Komuter Utara dari stesen Ipoh, Sungai Siput dan Kuala Kangsar ke stesen Butterworth, Pulau Pinang dan stesen perantaranya bermula Sabtu ini, bersempena pengoperasian laluan baharu berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Pengangkutan itu melalui KTMB, turut membantu memudahkan urusan harian penduduk di Perak ke tempat kerja, membeli-belah, bercuti dan sebagainya.

“Bagi mempromosikan dan menggalakkan lagi inisiatif tersebut, Kementerian Pengangkutan, kerajaan negeri dan KTMB, bersetuju menawarkan pemberian tambang percuma sehala selama dua hari pada 16 dan 17 Sept.

“Tawaran perkhidmatan percuma selama dua hari ini terhad bagi perjalanan sehala hanya dari tiga stesen yang baharu iaitu stesen Ipoh, Sungai Siput dan Kuala Kangsar ke stesen lain di laluan KTM Komuter antara Ipoh ke Butterworth,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan KTMB hari ini.

Beliau berkata perkhidmatan KTM Komuter Utara laluan Butterworth ke Padang Rengas ke stesen Ipoh itu, akan membawa impak positif kepada Perak termasuk merancakkan lagi pertumbuhan sektor pelancongan dalam negeri.

Saarani berkata sinergi antara tiga pihak itu bakal diteruskan, bagi merancakkan industri pelancongan rail tourism terutamanya dalam menjayakan Tahun Melawat Perak 2024, melalui pelbagai perancangan yang giat diatur untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.

Sementara itu, KTMB memaklumkan perjalanan dari stesen Butterworth ke stesen Ipoh mengambil masa selama satu jam 56 minit, dengan kadar tambang dewasa RM12.80 sehala, manakala kadar tambang konsesi bagi kanak-kanak, warga emas, dan orang kurang upaya (OKU), RM6.40 sehala.

Tren pertama dari stesen Ipoh ke stesen Butterworth bermula 4.40 pagi, manakala dari stesen Butterworth ke stesen Ipoh pada 5.30 pagi, dengan tren terakhir yang beroperasi dari stesen Ipoh pukul 6.35 petang, sementara dari stesen Butterworth 7.10 malam.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket secara dalam talian dan merancang perjalanan menerusi aplikasi KTMB Mobile (KITS) dan MyRailtime, yang boleh dimuat turun melalui Appstore, Play Store dan App Gallery.

Untuk pertanyaan lanjut dan berkaitan promosi terkini, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200 atau layari laman media sosial rasmi KTMB. – 14 September, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Worrying number of youth spending 18 hours on social media daily: MCMC 

The Malaysian Communications and Multimedia Commission has drawn attention to the substantial number of young individuals who spend extended periods online, expressing concerns about harmful aspects of specific social media platforms. 

Penang’s shores in peril: a deadly mix of climate change and coastal development”

Rising sea levels, erratic weather, and unchecked development are driving coastal erosion to alarming new heights in Penang, threatening both nature and livelihoods.

PayNet confirms DuitNow QR code transaction fee for merchants starting Oct 1

In a statement on the matter, PayNet, the operator of DuitNow QR, clarified that the fee follows the lifting of a waiver on the merchant discount rate, which is charged based on a percentage of the payment transaction value.  

◉ Related