◉ HEADLINES

Anwar tiba di Riyadh untuk hadiri Sidang Kemuncak Tergempar OIC

Sidang kemuncak tergempar itu dijangka menerima pakai Kenyataan Akhir (Final Communique)

6:49 PM MYT

 

RIYADH – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kali kelapan bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Terminal Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, terletak kira-kira 35 kilometer (km) utara Riyadh pada 12 tengah hari (5 petang waktu Malaysia).

Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta delegasi Malaysia termasuk Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil disambut oleh Timbalan Gabenor Riyadh Putera Muhammad bin Abdulrahman bin Abdul Aziz.

Turut berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan Anwar ialah Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan isteri Datin Zuhaila Abd Latiff.

Setibanya di hotel penginapan di sini, Anwar dan delegasi disambut oleh Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Pemimpin dan delegasi daripada negara anggota OIC akan berkumpul pada sidang kemuncak itu yang dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.

Sebelum sidang kemuncak itu, dua mesyuarat persediaan diadakan iaitu Mesyuarat Pegawai Kanan OIC (SOM) pada 9 November dan Mesyuarat Peringkat Menteri OIC pada 10 November, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar semalam.

Perhimpunan itu berlangsung di Pusat Konvensyen Raja Abdulaziz, Riyadh susulan penglibatan meluas Anwar dengan beberapa pemimpin OIC mengenai isu Palestin dan pencerobohan tentera Israel yang berlarutan.

Semasa sidang kemuncak itu, Anwar akan sekali lagi menyatakan pendirian tidak berbelah bahagi Malaysia berhubung keperluan penting untuk menghentikan tindakan pembunuhan kejam oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, dengan muktamad dan selama-lamanya.

Krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza itu memerlukan perhatian segera dan Perdana Menteri akan menyokong negara anggota OIC dan komuniti antarabangsa untuk menangani kesusahan dan penderitaan yang dialami rakyat Palestin.

Sidang kemuncak tergempar itu dijangka menerima pakai Kenyataan Akhir (Final Communique).

Serangan berterusan tanpa henti rejim Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza sejak kira-kira sebulan yang lepas telah mengorbankan lebih 11,000 nyawa, dengan sebahagian besar daripadanya ialah penduduk awam terutamanya wanita dan kanak-kanak.

Beribu-ribu penduduk pula masih tidak dapat dikesan dan dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang musnah dibedil.

Menurut pertubuhan hak asasi manusia, pengeboman oleh Israel menyaksikan pesawat pejuangnya menggugurkan lebih 25,000 tan bahan letupan di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober, yang bersamaan dengan dua bom nuklear.

Sebagai perbandingan, bom atom yang dijatuhkan oleh Amerika Syarikat di Hiroshima, Jepun ketika Perang Dunia kedua menghasilkan 15,000 tan bahan letupan. – 11 November, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related