◉ HEADLINES

RUU Kawalan Produk Merokok baharu dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat

Dr Zaliha turut menarik semula pembentangan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua yang dibentang pada Jun lalu

1:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang telah disemak semula dibentangkan sekali lagi untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU baharu itu dibentangkan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Dr Zaliha menerusi ciapan di platform X memaklumkan, RUU itu adalah komprehensif untuk mengawal selia penggunaan vape dan rokok elektronik yang semakin meluas di negara ini dan juga untuk mengatasi kelompangan undang-undang sedia ada.

“Pembentangan RUU ini merupakan satu detik bersejarah memandangkan ini merupakan RUU pertama yang khusus dalam mengawal selia produk merokok.

“InsyaAllah, saya akan membuat bacaan kedua pada esok, 29 November 2023. Semoga RUU ini dapat dimuktamadkan dan diluluskan sebulat suara menjelang akhir persidangan Parlimen kali ini,” katanya.

Terdahulu, semasa di Dewan Rakyat, Dr Zaliha turut menarik semula pembentangan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua yang dibentang pada Jun lalu.

“Bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 62, saya mohon untuk menarik balik DR25/2023 Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 seperti tertera di nombor empat dalam aturan urusan mesyuarat pada hari ini,” katanya.

Pada Oktober lalu, pembentangan RUU yang turut dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat ditangguhkan kepada suatu tempoh yang tidak dimaklumkan.

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini dilaporkan menangguhkan pembentangan RUU berkenaan bagi memberi laluan kepada aturan urusan kerajaan lain sebagaimana disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM).

Pada 18 November lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) secara konsisten berpandangan bahawa RUU GEG adalah tidak berperlembagaan (unconstitutional).

Jabatan itu menerusi satu kenyataan berkata, peruntukan tersebut boleh dicabar di mahkamah kerana melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas dakwaan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa AGC mengambil pendirian berbeza daripada selama ini berhubung RUU berkenaan.

Menurut Khairy, semasa RUU itu dibentangkan di Parlimen kali pertama dahulu, pihaknya telah diminta membuat beberapa pindaan dan susulan itu satu jawatankuasa pilihan khas Parlimen ditubuhkan dengan beliau menjadi pengerusinya.

Jelasnya, jawatankuasa itu telah menemui beberapa pihak termasuk jawatankuasa pilihan khas Parlimen berkaitan hak kanak-kanak yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Azalina Othman Said.

Khairy berkata, RUU itu beberapa kali dibawa ke Kabinet dan Parlimen semasa beliau menjadi Menteri Kesihatan sebelum disambung oleh Dr Zaliha dan isu ia tidak berperlembagaan tidak pernah berbangkit. – 28 November, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

◉ Related