◉ HEADLINES

Lazada Malaysia tidak terkecuali daripada langkah pembuangan pekerja

Sumber memaklumkan kepada Scoop bahawa bahagian pemasaran dijangka menanggung beban pemberhentian itu, dengan potensi pengurangan sehingga 90%

10:03 PM MYT

 


KUALA LUMPUR – Platform beli-belah dalam talian, Lazada dilaporkan sedang bersiap-sedia untuk melaksanakan pembuangan pekerja di Malaysia, sama seperti yang dilaksanakan di Singapura.

Kakitangan di semua unit di pejabat Lazada Malaysia didakwa telah dimaklumkan mengenai pertemuan yang akan diadakan dengan jabatan sumber manusia dalam masa beberapa hari ini.

Sumber memaklumkan kepada Scoop bahawa bahagian pemasaran dijangka menanggung beban pemberhentian itu, dengan potensi pengurangan sehingga 90%.

“Kami sebenarnya tidak tahu apa yang berlaku, tetapi dimaklumkan bahawa pembuangan itu akan berlaku tidak lama lagi. Kami tidak mendapat maklumat mengenainya menyebabkan tiada ketelusan,” kata sumber berkenaan yang enggan dikenali.

Scoop telah difahamkan bahawa pembuangan pekerja itu bukan hanya dilaksanakan di Singapura serta Malaysia, sebaliknya dijangka berlaku di Vietnam, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Sumber itu juga memaklumkan bahawa berita mengenai pemberhentian pekerja itu dilaporkan seminggu selepas Lazada membuka operasi di tingkat baru bagi menampung peningkatan jumlah pekerja.

Difahamkan walaupun kakitangan tertentu telah menerima jemputan untuk pertemuan dengan jabatan sumber manusia namun kakitangan yang lain berada dalam tanda tanya kerana perkara berkenaan hanya dimaklumkan secara lisan tanpa dokumen bertulis.

Terdahulu, The Edge Singapura melaporkan bahawa Lazada Singapura telah membuang pekerja junior dan senior daripada pelbagai unit, hari ini.

Ia juga memaklumkan proses pembuangan pekerja akan dijalankan sehingga 5 Januari, dengan memetik sumber yang memaklumkan bahawa bilik mesyuarat telah dikhaskan untuk jabatan sumber manusia sehingga minggu ini.

Bulan lepas, Alibaba Group Holding Ltd, yang merupakan syarikat induk kepada Lazada, telah membuat pelaburan tambahan sebanyak US$634 juta (kira-kira RM2.9 bilion) ke Lazada bagi membolehkan ia bersaing dengan plafform e-dagang yang lain.

Alibaba dikatakan berulang-kali menyuntik tunai ke dalam Lazada sejak 2022, dengan pelaburan pada bulan Disember lalu adalah pelaburan ketiga untuk tahun 2023, menjadikan jumlah keseluruhan adalah lebih US$1.8 bilion (kira-kira RM8.3 bilion).

Diasaskan pada 2012 di bawah syarikat Rocket Internet, Lazada kemudiannya telah dibeli oleh Alibaba pada 2016. Ia berdepan dengan persaingan sengit daripada platform e-dagang yang lain seperti Shopee di pasaran Asia Tenggara.

Lazada juga menyaksikan pertukaran jawatan tertinggi dalam masa lima tahun.

Pada Jun tahun lalu, Alibaba Group Holding Ltd telah melantik James Dong sebagai Ketua Eksekutif baharu untuk Kumpulan Lazada.

James, 42, yang sebelum ini mengetuai perniagaan Alibaba di Thailand dan menjadi pembantu kepada CEO Alibaba, Daniel Zhang, menggantikan Chun Li- seorang teknologis , yang bertukar peranan sebagai penasihat kepada pengerusi Kumpulan Lazada, Jiang Fan.

Susulan pelantikan itu, Dong telah menyerahkan jawatannya kepada Kaya Qin di Vietnam.

Li, yang menerajui Lazada sebagai CEO selama dua tahun, menggantikan pengasas bersama Lazada di bawah Rocket Internet pada 2012, Pierre Poignant. – 3 Januari, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Harimau Malaya’s wage disparities: a closer look at local vs naturalised player income divide

Salaries for footballers have become a hot topic in the Malaysian football community, as foreign players consistently earn more than local players in their respective clubs.

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Sin Sze Si Ya Temple Pioneers of Kuala Lumpur Museum: a journey through history

If you are a local or a tourist looking for a starting point when visiting Kuala Lumpur, the Sin Sze Si Ya Pioneers of Kuala Lumpur Museum should be your first stop to understand the growth, development and community dynamics in this city.

◉ Related