◉ HEADLINES

Takiyuddin anggap tindakan Kabinet campuri urusan Dewan Rakyat ‘pelik dan luar biasa’

Ahli Parlimen Kota Bharu berkata demikian berhubung penggantungannya yang lazimnya diputuskan Speaker atau Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

8:51 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tindakan Kabinet yang didakwa mencampuri urusan Dewan Rakyat berhubung isu penggantungan keahlian Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini adalah sesuatu yang pelik dan luar biasa.

Perkara itu diakui Takiyuddin yang menjelaskan keputusan berkaitan perjalanan Dewan Rakyat sepatutnya dibuat pihak legislatif dan bukan dibincang atau diputuskan dalam mesyuarat kabinet.

“Kita pun hairan juga sebab apa urusan dewan dibincang dan diputuskan dalam kabinet. Dalam Malaysia ini ada konsep pengasingan kuasa melibatkan tiga badan iaitu Perundangan (Legislatif), Pemerintah (Eksekutif) dan Kehakiman (Judisiari). Antara tiga badan ini, ia tidak boleh campur tangan antara satu sama lain.

“Sebelum ini pun tidak pernah berlaku. Urusan dalam Dewan Rakyat sepatutnya Dewan Rakyat lah buat keputusan. Jadi kena tanya Menteri Undang-Undang kenapa jadi begini,” katanya semasa sidang akhbar ketika ditemui selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat (Bersama Masyarakat India) Peringkat Negeri Kelantan di Kelantan Trade Centre (KTC) di Kota Bharu semalam lapor Sinar Harian.

Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) memberitahu, beliau hairan bagaimana keputusan berkaitan penggantungan ahli Parlimen boleh wujud daripada kabinet, sedangkan ia lazimnya diputuskan Speaker atau Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Tidak pernah berlaku dalam Dewan Rakyat, gantung ke, nak apa ke…Kabinet buat keputusan. Itu persoalan yang masih belum terjawab.

“Saya rasa isu ini bukan besar sangat, isu biasa sahaja. Dari dulu ramai kena gantung, Karpal Singh, Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan terbaharu Ahli Parlimen Machang… semua digantung enam bulan.

“Tapi kenapa sampai begitu sekali terhadap saya, saya tak faham,” katanya.

“Peliklah… luar dari kebiasaan. Kena tanya Menteri Undang-undang. Padahal dia (Datuk Seri Azalina Othman Said) ada dalam Parlimen semasa kes saya dibawa, dia ada dalam dewan. Pelik-pelik… tidak pernah berlaku,” katanya.

Media Jumaat lalu melaporkan, Jemaah Menteri membuat keputusan supaya Takiyuddin dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi tujuan penelitian selanjutnya.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, ia selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Jelasnya, usul yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara berkenaan dirujuk secara rasmi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk dipertimbangkan mengikut aturan ditetapkan. – 6 Disember, 2025

Topics

 

◉ Hangat

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

RM200m World Cup rights fee puts Malaysia’s 2026 viewing at risk

Malaysia could miss live coverage of the 2026 FIFA World Cup as a steep RM200 million broadcasting fee strains Astro and RTM, raising doubts over whether fans will be able to watch football’s biggest tournament

Education Ministry scraps teacher training system to lighten workload

Minister Fadhlina Sidek vows to help teachers focus on what matters most – teaching – as new curriculum changes approach

◉ Related