◉ HEADLINES

Kekal bebas atau ke penjara, nasib Syed Saddiq akan diketahui esok

Keputusan itu sepatutnya didengar pada 30 Jun lalu, namun terpaksa ditangguhkan selepas Hakim Che Ruzima bercuti sakit

12:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Nasib Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sama ada kekal bebas atau ke penjara atas empat tuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada, akan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan esok.

Keputusan itu akan dibaca oleh Panel tiga hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ia sepatutnya didengar pada 30 Jun lalu, namun terpaksa ditangguhkan selepas Hakim Che Ruzima bercuti sakit.

Rayuan itu telah didengar selama dua hari dan pihak-pihak selesai berhujah di hadapan tiga panel berkenaan pada 12 Disember 2025.

Sepanjang prosiding rayuan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Semasa rayuan akhir pendakwaan pada 12 Disember lalu, dalam situasi yang jarang berlaku, Hakim Abu Bakar memberikan tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk meneliti semula rayuan itu selepas pihak-pihak selesai berhujah, lapor Bernama.

Beliau yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan berkata pihak pendakwaan perlu berbincang dan menyatakan pendirian sama ada mahu meneruskan rayuan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, pada 17 Disember 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan Peguam Negara telah mengarahkan pihak pendakwaan meneruskan rayuan dan akan menerima sebarang keputusan mahkamah.

Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, daripada empat pertuduhan itu selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Nov 2023.

AGC memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan itu.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Syed Saddiq turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit. – 12 Julai, 2026

Topics

 

◉ Hangat

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

Malaysia suffers RM2.7bil losses from online scams in 11 months, reveals CCID

Bukit Aman’s Commercial Crime Investigation Department highlights telecommunications and e-commerce fraud as the biggest culprits in rising cybercrime figures

Thai oil giant pulls plug on Lang Lebah as Petronas-Petros feud looms large

Once dubbed Malaysia’s ‘project of the year’, Sarawak offshore project now faces an uncertain future amid budget blowouts and state-federal oil disputes with US$1 billion cost overrun

◉ Related