◉ HEADLINES

Inisiatif Payung Rahmah perlu diteruskan: Zahid

Rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar pastinya mengharapkan inisiatif berkenaan dapat diteruskan dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup ketika ini

3:26 PM MYT

 

PONTIAN – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu inisiatif Payung Rahmah diteruskan oleh pengganti Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) nanti.

Ahmad Zahid berkata ia kerana rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar pastinya mengharapkan inisiatif berkenaan dapat diteruskan dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup ketika ini.

“Allahyarham seorang yang sangat baik, rajin bekerja tidak mengira masa dan tidak kira di mana jua. Dalam Kabinet, beliau merupakan seorang yang sangat bekerja keras dan teliti terutamanya apabila menjalankan tentang inisiatif Payung Rahmah.

“Ia harus diberikan kesinambungan oleh sesiapa yang akan dilantik menjadi menteri selepas ini kerana rakyat pasti teringat akan sumbangan beliau pada negara melalui skim Payung Rahmah ini,” katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat di sini hari ini.

Sejak memegang jawatan Menteri KPDN, Salahuddin telah melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah jenama Payung Rahmah bagi membantu rakyat menghadapi pelbagai cabaran berhubung kenaikan kos sara hidup terutama ketika negara dan ekonomi sedang pulih daripada kesan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh yang turut memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham berkata KPDN akan tetap meneruskan legasi Payung Rahmah berkenaan.

Fuziah berkata Payung Rahmah yang dicetuskan oleh Salahuddin itu kini telah menjadi antara sebutan dalam kalangan masyarakat kerana ia antara usaha membantu rakyat terutamanya golongan yang memerlukan.

“Allahyarham adalah pencetus dan perintis kepada inisiatif ini dan ia merupakan terjemahan daripada rasa kasih serta rasa sayang beliau terhadap insan-insan yang memerlukan. Doakan agar kami dapat meneruskan legasi inisiatif Payung Rahmah untuk rakyat negara ini. 

“Negara telah kehilangan pemimpin yang bekerja keras, komited dan sentiasa mengambil berat akan perihal rakyat. Semoga Allah SWT ampunkan segala dosa beliau dan tempatkannya dalam kalangan orang yang beramal soleh,” katanya. – 24 Julai 2023

Topics

 

◉ Hangat

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Egypt’s prestigious Al-Azhar University’s admittance of a non-Muslim student could serve as an example to learn from – Hafiz Hassan

Despite being an Islamic institution with rigorous requirements, the school made an exception to its rules in 2017

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

◉ Related