◉ HEADLINES

Malaysia kekal berkecuali walaupun jalin kerjasama dengan China dan AS

Malaysia tidak pernah mengubah pendirian itu malah kedua-dua kuasa besar kekal sebagai pelabur terbesar di negara ini

9:14 PM MYT

 

BEIJING – Malaysia kekal sebagai sebuah negara Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) meskipun menjalin kerjasama perdagangan antarabangsa dengan dua kuasa besar yang saling bersaing iaitu China dan Amerika Syarikat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata Malaysia tidak pernah mengubah pendirian itu malah kedua-dua kuasa besar kekal sebagai pelabur terbesar di negara ini.

Beliau berkata berikutan anjakan paradigma ekonomi ke rantau Asia, Malaysia sewajarnya turut memperkukuh hubungan perdagangan dengan China yang semakin maju dalam bidang ekonomi dan teknologi.

“Sesiapa sahaja yang ingin berniaga dengan kita, kita berniaga… tetapi lebih penting apabila kini berlaku gelombang pertukaran ekonomi ke Asia.

“Jika abad ke-19 milik British dan Eropah, abad ke-20 milik Amerika Syarikat dan kini abad ke-21, pertukaran berlaku apabila perkembangan ekonomi menunjukkan Asialah tempatnya.

“Jika Malaysia tidak mengambil kesempatan dengan kebangkitan gelombang ekonomi Asia ini, sememangnya ada yang tidak kena dengan kita,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama sempena lawatan rasmi beliau ke Beijing, China.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bagaimana Malaysia mengimbangi persepsi dunia terhadap tindakan negara yang menjalin kerjasama diplomasi serta perdagangan antarabangsa dengan China dan Amerika Syarikat.

Johari berkata Malaysia sebagai negara tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN pada 2025 mesti mempunyai hala tuju yang jelas seiring dengan gelombang perubahan ekonomi ke rantau itu.

Justeru, beliau berkata kerjasama dan hubungan diplomatik dengan China membuka peluang kepada Malaysia untuk menetapkan hala tuju dalam menerajui ASEAN.

“Bayangkan apabila kita jadi Pengerusi, apa dan bagaimana hala tuju kita untuk membawa ASEAN kalau kita tidak bercakap tentang kebangkitan Asia dan ekonominya.

“Takkan kita nak cakap soal politik dan peperangan… bagi saya, apa yang akan kita ketengahkan, perdebatkan dan lakukan bila sampai waktunya pada 2025 itu ialah kita menjurus kepada tujuan perhebat kedudukan rakyat kita dan rantau ini,” katanya.

Beliau menyifatkan agenda dan hala tuju itu adalah luhur dan baik, justeru negara harus berkolaborasi dengan China untuk memaksimumkan potensi Malaysia di rantau ini.

Johari, yang mengetuai delegasi Parlimen Malaysia, menamatkan lawatan rasmi ke republik itu atas undangan rakan sejawatnya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) ke-14 Zhao Leji, hari ini.

Semasa lawatan sejak 23 Sept itu, Johari mengadakan pertemuan dua hala bersama Zhao, Pengerusi Persidangan Konsultatif Rakyat China (CPPCC) Wang Huning dan Presiden China Xi Jinping selain menghadiri majlis pembukaan Sukan Asia Hangzhou 2023 serta melawat beberapa syarikat besar di negara itu dalam bidang teknologi, tenaga boleh diperbaharui, pertanian dan kecerdasan buatan (AI). – 27 September, 2023

Topics

 

◉ Hangat

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

RM200m World Cup rights fee puts Malaysia’s 2026 viewing at risk

Malaysia could miss live coverage of the 2026 FIFA World Cup as a steep RM200 million broadcasting fee strains Astro and RTM, raising doubts over whether fans will be able to watch football’s biggest tournament

More than 100 Foodpanda riders protest over low wages at company headquarters

New Google Maps-based system forces riders to make more deliveries to make ends meet

◉ Related