◉ HEADLINES

Ratusan pesakit termasuk 32 bayi kritikal masih berada di Hospital Al-Shifa

Dalam pada itu, puluhan maut dalam serangan Israel ke atas dua sekolah di utara Gaza

3:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan masih terdapat 25 pekerja kesihatan dan 291 pesakit, termasuk 32 bayi di Hospital Al-Shifa Gaza, meskipun tentera Israel mengarahkan premis itu dikosongkan semalam.

Menurutnya, pesakit yang terpaksa ditinggalkan di premis itu termasuk 32 bayi dalam keadaan kritikal, dua dalam unit rawatan rapi tanpa pengudaraan dan 22 lagi perlu menjalani rawatan dialisis.

“Sebahagian besar pesakit adalah mangsa trauma perang, termasuk ramai yang mengalami patah tulang kompleks dan amputasi, kecederaan kepala, melecur di dada dan perut.

“Manakala 29 pesakit yang mengalami kecederaan tulang belakang serius tidak dapat bergerak tanpa bantuan perubatan.

“Ramai pesakit turut dijangkiti luka teruk kerana kekurangan langkah kawalan jangkitan di hospital dan ketiadaan antibiotik,” katanya.

Pasukan WHO berkata, angka kematian turut meningkat dalam tempoh dua hingga tiga hari sebelumnya akibat penutupan perkhidmatan perubatan.

Katanya, usaha sedang dilakukan segera bagi mengangkut baki pesakit ke Hospital Nasser dan Hospital Gaza Eropah di selatan Gaza, tetapi fasiliti pusat kesihatan itu sudah tidak mampu menampung kehadiran pesakit baharu.

Kebanyakan petugas perubatan, pesakit dan orang awam yang berlindung di Hospital Al-Shifa meninggalkan kemudahan itu semalam, dengan kakitangan hospital melaporkan mereka diarah berpindah oleh tentera Israel.

Pegawai Israel bagaimanapun menafikan mereka memaksa orang ramai untuk meninggalkan hospital itu.

Pengarah Hospital Al-Shifa, Muhammad Abu Salmiya, sebelum ini memberitahu Al Jazeera bahawa ramai orang meninggalkan premis itu dengan berjalan kaki.

Begitupun katanya, “pesakit yang tidak boleh bergerak dan mereka yang mempunyai keadaan kritikal” terpaksa ditinggalkan dengan segelintir petugas.

Dalam pada itu, puluhan orang awam termasuk kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Sekolah Al-Fakhoora yang dikendalikan Agensi Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) di kem pelarian Jabalia.

Tentera Israel turut mengebom sebuah lagi sekolah di Tal al-Zaatar yang juga terletak di utara Gaza.

Seorang wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud yang melaporkan dari Khan Younis di selatan Gaza berkata, serangan Israel ke atas sekolah, hospital dan kemudahan awam “nampaknya menjadi trend sekarang”. – 19 November, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

◉ Related