◉ HEADLINES

Perhilitan sahkan pekerja ladang getah maut dibaham harimau belang

Susulan kejadian itu, jabatan berkenaan sudah mengambil langkah proaktif dengan memasang 10 unit perangkap harimau dan perangkap kamera di kawasan panas

10:24 AM MYT

 

GUA MUSANG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mengesahkan spesies haiwan liar yang menyerang seorang pekerja ladang getah warga Indonesia di Kampung Kuala Tol semalam, adalah Harimau Belang.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, ia susulan siasatan yang dijalankan anggotanya selepas mayat mangsa dibawa keluar anggota polis dari lokasi kejadian. 

Beliau berkata, terdahulu pihaknya menerima makluman dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang berkaitan kematian seorang penoreh getah, disyaki diserang hidupan liar di kawasan ladang berkenaan. 

“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang diberikan taklimat di IPD Gua Musang, seterusnya bergerak ke lokasi kejadian pada jam 3.30 petang dan tiba lebih kurang 5 petang.

“Hasil siasatan mendapati spesies yang menyerang mangsa ialah Harimau Belang (Panthera Tigris Jacksoni),” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Semalam, media melaporkan seorang pekerja ladang berusia 36, ditemukan maut dipercayai dibaham harimau dan mayatnya dijumpai dalam keadaan tidak sempurna dengan kesan kecederaan di leher serta hilang tangan kanan, kedua ibu jari kaki serta sebahagian bawah badan.

Mohamad Hafid berkata, Perhilitan Gua Musang menerima aduan berkenaan kehadiran harimau di kawasan ladang terbabit pada 20 November lalu.

Katanya, tindakan siasatan di lokasi aduan dilakukan kakitangan jabatan pada tarikh sama.

“Khidmat nasihat diberikan kepada pekerja supaya membersihkan kawasan kebun yang bersemak samun dan keluar bekerja secara berkumpulan,” katanya. 

Beliau berkata, Perhilitan sudah mengambil langkah proaktif dengan memasang 10 unit perangkap harimau dan perangkap kamera di kawasan panas aduan gangguan Harimau Belang di daerah berkenaan.

“Semua perangkap adalah aktif dan dipantau setiap hari kakitangan jabatan.

“Perhilitan memohon kerjasama pemilik dan pekerja ladang atau kebun supaya membersihkan semak samun, sentiasa berhati-hati, bekerja secara berkumpulan dan tidak membuat sebarang provokasi kepada hidupan liar sekiranya terserempak,” katanya. – 30 November, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

◉ Related