◉ HEADLINES

17.65 juta kemas kini maklumat sistem Padu: Rafizi

Mereka yang tidak berjaya mendaftar, data pentadbiran sedia ada mencukupi untuk digunakan kerajaan bagi menentukan kelayakan penyasaran semula subsidi

3:54 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seramai 17.65 juta atau 58.7% rakyat sudah mengemaskini maklumat dalam Pangkalan Data Utama (Padu) selepas pendaftaran untuk sistem itu berakhir tengah malam tadi.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, 11.55 juta atau 52.6% adalah warganegara berumur 18 tahun ke atas yang berjaya mendaftar dan mengemaskini profil diri.

“Kementerian Ekonomi seterusnya akan membentangkan perancangan penyasaran semula subsidi kepada Jemaah Menteri dalam April (bulan ini).

“Sebarang pengumuman berkenaan hal ini akan diumumkan oleh kerajaan pada masa yang akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berdasarkan pecahan pendaftaran mengikut negeri bagi warganegara berumur 18 tahun ke atas, Perlis merekodkan pendaftaran tertinggi iaitu sebanyak 66.9%, diikuti Kelantan (65.2), Terengganu (62.7), Perak (60.3), Pahang (59.7), Kedah (58.9), Putrajaya (56.5), Negeri Sembilan (56.2), Labuan (55.2).

Melaka pula merekodkan 53%, Pulau Pinang (52.9), Sabah (52.8), Johor (48.4), Kuala Lumpur (47.6), Sarawak (46.7) dan Selangor (44.5).

Rafizi berkata, bagi warganegara yang tidak berjaya mendaftar dan mengemaskini profil di Padu, data pentadbiran yang sedia adalah mencukupi dan akan digunakan untuk kerajaan menentukan kelayakan individu bagi tujuan penyasaran semula subsidi.

“Sekiranya ada keperluan, Kementerian Ekonomi akan umumkan pembukaan semula Padu untuk tempoh yang singkat bagi pendaftaran dan pengemaskinian, setelah kerajaan membuat keputusan bentuk dan mekanisme subsidi bersasar,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan pembangunan sistem Padu di Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Jabatan Digital Negara, Kementerian Komunikasi dan juga agensi lain yang terlibat.

“Komitmen yang tinggi dan tidak berbelah bahagi telah ditunjukkan oleh pasukan Padu sejak hari pertama pendaftaran dibuka hingga pendaftaran ditutup.

“Di kesempatan ini juga, saya mengucapkan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang mengambil inisiatif untuk mendaftar Padu,” katanya. – 1 April, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

◉ Related