◉ HEADLINES

Telegram paling lemah urus isu scam: Fahmi

Facebook dikenal pasti paling banyak iklan perjudian dan penipuan dalam talian, TikTok sebagai antara penyumbang tertinggi manakala platform paling lemah uruskan isu scam ialah Telegram

6:17 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Telegram dikenal pasti sebagai platform media sosial paling lemah dalam menguruskan isu berkaitan penipuan atau scam, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Sementara platform Facebook pula, katanya, dikenal pasti paling banyak memaparkan iklan perjudian dan penipuan dalam talian selain TikTok sebagai antara penyumbang tertinggi.

“Daripada jumlah kandungan yang diminta diturunkan di Telegram, separuh daripadanya ialah berkaitan penipuan, tetapi platform itu tidak menurunkan semuanya.

“Jadi, kita perlu ambil keputusan yang tegas terhadap platform-platform ini,’’ katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi juga memberitahu, Telegram akan datang ke Kuala Lumpur minggu ini untuk meneruskan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai keselamatan siber.

“(Perbincangan) Antara lain scam, judi dalam talian, bahan penderaan seksual kanak-kanak, bahan persundalan dan juga bahan hak cipta filem atau episod televisyen yang sebelum ini diperoleh melalui pelbagai saluran dalam Telegram,” katanya.

Tambah beliau, meskipun Telegram mempunyai lebih satu bilion akaun pengguna di seluruh dunia, namun platform berkenaan beroperasi dengan sumber manusia yang terhad, iaitu kira-kira 50 orang sahaja.

Mengulas lanjut, Fahmi memberitahu sebanyak 173,642 kandungan telah diturunkan oleh penyedia platform media sosial sejak 1 Januari hingga 27 Jun lalu.

“Daripada jumlah itu, 51% atau lebih 90,000 daripadanya melibatkan judi dalam talian dan lebih 43,000 ialah jenayah scam manakala selebihnya melibatkan lain-lain jenayah,’’ katanya.

Menjelaskan mengenai tindakan yang boleh diambil, Fahmi menegaskan tindakan menyekat atau menurunkan sesuatu kandungan ataupun akaun media sosial hanya boleh dilaksanakan oleh penyedia platform itu sendiri.

Kerajaan, ujar beliau, tiada kuasa untuk mengarahkan penyedia platform media sosial untuk mengambil sebarang tindakan kerana ia hanya dilakukan sekiranya kandungan atau akaun itu telah melanggar undang-undang.

“Bila satu-satu kandungan ataupun akaun itu diturunkan atau disekat, ia bermaksud platform akur dengan undang-undang yang sedia ada dan mereka percaya bahawa kandungan itu telah melanggar undang-undang,” katanya.

Sementara itu, program NANBA yang diilhamkan daripada perkataan Tamil bermaksud “kawan” ialah satu inisiatif strategik anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang melambangkan komitmen Kerajaan Madani untuk memperkukuh hubungan erat bersama komuniti India, khususnya golongan belia, serta memperluas penyampaian maklumat kerajaan secara inklusif dan berkesan.

Program itu turut menjadi platform komunikasi dua hala efektif dalam memperkasakan akses masyarakat kepada maklumat berkaitan dasar, inisiatif serta pelbagai peluang yang ditawarkan oleh kerajaan di samping mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan dan maklumat secara langsung kepada rakyat. – 28 Jun, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

Selangor to host Sukma 2026 from Aug 15-24, Para Sukma in September

Over 10,000 athletes expected as Selangor aims to reclaim overall crown; official logo and mascot to be unveiled next month

Malaysia eyes next-generation combat aircraft in 2030s, FA-50s arrive by year-end: Khaled

Defence Minister says phased delivery of 18 FA-50 jets will strengthen air force capabilities

◉ Related