◉ HEADLINES

Ibu Zayn Rayyan, Ismanira dipenjara 5 tahun, diarah jalani hukuman serta-merta

12:10 PM MYT

 

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin iaitu Ismanira Abdul Manaf selepas didapati bersalah mengabaikan kanak-kanak autistik itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, dua tahun lepas.

Hakim Dr Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan Ismanira, 30, menjalani hukuman penjara bermula hari ini selepas permohonan untuk mengangguhkan hukuman ditolak.

“Tiada alasan yang meyakinkan mahkamah untuk membenarkan penangguhan. Alasan bahawa dia perlu menjaga seorang lagi anak autistik adalah urusan peribadi yang boleh diuruskan oleh keluarganya.

“Oleh itu, dia perlu dipenjarakan serta-merta,” katanya.

Tertuduh dihantar ke Penjara Kajang serta-merta untuk jalani hukuman penjara.

Ismanira juga diminta menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan serta cagaran RM3,000 dan diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam.

Khidmat masyarakat itu perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Pada 21 Julai lepas, Hakim Syahliza memerintahkan Ismanira membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap wanita itu manakala suaminya Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.

Mereka didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Disember 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi manakala Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh. – 31 Oktober, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

◉ Related