◉ HEADLINES

Kedah negeri terbaharu dilanda banjir

JPBN berkata, semua 225 mangsa daripada 66 keluarga dari daerah Kulim ditempatkan di PPS Masjid Al-Muhtadin Sungai Seluang, Surau Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Naga Lilit dan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Dik

11:18 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kedah menjadi negeri terbaharu yang dilanda banjir, selepas Kelantan dan Terengganu, sekali gus merekodkan jumlah keseluruhan mangsa yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga buah negeri itu sebanyak 2,112 mangsa pagi ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan kesemua  225 mangsa daripada 66 keluarga dari daerah Kulim ditempatkan di PPS Masjid Al-Muhtadin Sungai Seluang, Surau Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Naga Lilit dan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Dik.

“Mukim yang terlibat ialah Sungai Seluang dan mangsa adalah dari Kampung Siam, Kampung Bukit Sarang Ayam, Kampung Paya Serdang, Kampung Titi Tok Aris dan Kampung Padang Cina,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, mangsa banjir di KELANTAN mencatat peningkatan kepada 1,623 orang pagi ini berbanding 1,170 orang malam tadi melibatkan tiga jajahan yang terjejas susulan hujan lebat berterusan tahap waspada sejak Jumaat lepas.

Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan ekoran itu, 12 PPS kini beroperasi di Kota Bharu, Tumpat dan Bachok.

PPS yang terlibat di Kota Bharu ialah SK Sering, SK Raja Sakti, SK Tapang, SK Parang Puting, SK Islah, SK Seribong, dan SK Sabak, manakala di Tumpat melibatkan SK Seri Tumpat 2 dan SK Pengkalan Kubor 2, selain tiga PPS di Bachok, iaitu SK Sembilan Pauh, SK Jelawat dan SK Pa’Pura.

Di TERENGGANU, situasi banjir menunjukkan sedikit penurunan jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS berbanding malam tadi.

Menurut laman web info bencana JKM, sebanyak 264 mangsa daripada 87 keluarga dari Kampung Baru, Pulau Redang masih berlindung di PPS Masjid Kampung Pulau Redang di Kuala Nerus berbanding 276 mangsa malam tadi.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di tujuh negeri setakat 1 tengah hari ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan negeri terlibat ialah Perak membabitkan kawasan Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim, serta Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Raub).

Turut terlibat ialah kawasan Sabak Bernam dan Hulu Selangor di Selangor; Port Dickson, Rembau dan Tampin di Negeri Sembilan; Tangkak dan Muar di Johor, serta Melaka.

Amaran itu turut melibatkan kawasan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat di Sabah. – 23 November, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Smoking to cost more: BAT Malaysia lights up price tags with new cigarette rates

Cigarette prices for top brands will rise between RM12.40 and RM18.40 per pack starting November 21, 2025

AFC to name 2031 and 2035 Asian Cup hosts in joint announcement

Record number of bids for 2031 edition prompts AFC to consider back-to-back host decisions at upcoming congress

Kuala Lumpur location for Marvel superhero film Thunderbolts

Florence Pugh was in Malaysia and shot scenes in Medan Pasar, Merdeka 118

◉ Related