◉ HEADLINES

Dakwaan Bersatu kembali bersama PH fitnah jahat, cubaan tutup kegagalan Langkah Bangkok: Azmin

Jangan terpedaya dengan bisikan syaitan yang kejam dan jahat untuk menghalang kemaraan Bersatu, kata Azmin

12:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan dakwaan parti itu akan kembali bersama Pakatan Harapan (PH) sebagai fitnah yang jahat dan tidak berasas.

Menurutnya, dakwaan tersebut dikutip daripada kumpulan orang politik yang muflis nilai-nilai perjuangan dan percubaan untuk menutup kegagalan pengkhianatan dalam gerakan Langkah Bangkok.

Jelasnya, tiupan fitnah semakin kencang kerana Bersatu semakin kuat dan berkembang dengan sokongan rakyat serta golongan profesional.

“Bersatu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan akan kembali bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bersatu juga menangkis fitnah bahawa wujud pertemuan dan perbincangan di antara pimpinan Bersatu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk maksud mewujudkan kerjasama dengan Pakatan Harapan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai spekulasi kemungkinan parti itu akan kembali bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Anwar dengan dakwaan beberapa siri perbincangan tidak rasmi dikatakan telah diadakan.

Desas-desus itu diperkatakan susulan ketegangan hubungan Bersatu dengan PAS.

Mengulas lanjut, Azmin memberitahu, prinsip dan idealisma perjuangan Bersatu serta muafakat utuh dalam Perikatan Nasional (PN) telah membawa perubahan yang besar dalam lanskap politik negara Malaysia.

Jelasnya, jenama Bersatu menjadi daya tarikan rakyat Malaysia selain pengalaman dan prestasi pemimpin-pemimpin parti khususnya Tan Sri Muhyiddin Yasin yang cemerlang, telah teruji dan terbukti berjaya mengurus dan mentadbir negara dengan baik.

Wajah sederhana, inklusif, progresif, katanya, dan dasar prihatin rakyat telah menjana sokongan yang meluas.

“Wahai rakyat Malaysia! Berhati-hati dengan penyata dan berita daripada golongan fasiq yang berkeliaran dan bergelandangan untuk memecahkan perpaduan dalam Bersatu dan Perikatan Nasional.

“Jangan terpedaya dengan bisikan syaitan yang kejam dan jahat untuk menghalang kemaraan Bersatu dan berita golongan fasiq mesti diselidik dan ditentusahkan terlebih dahulu,’’ katanya.

Terdahulu beberapa pemimpin Bersatu turut menafikan spekulasi berkenaan termasuk Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan memberitahu kerjasama melibatkan parti itu dengan PH tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana platform mesyuarat parti sebelum ini.

Tun Faisal menyifatkan kerjasama itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal kerana Bersatu adalah antara parti yang pernah meruntuhkan kerajaan PH pasca Pilihan Raya Umum ke-14. – 29 Mei, 2029

Topics

 

◉ Hangat

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

◉ Related