◉ HEADLINES

Malaysia gesa AI beretika, perdagangan digital terbuka pastikan negara membangun raih manfaat kemajuan: PM

Anwar berkata matlamat Malaysia dalam bidang AI adalah jelas, iaitu meningkatkan produktiviti, membantu syarikat kecil bersaing dan membawa industri ke arah aktiviti bernilai tinggi selain memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada perubahan teknologi berbanding hanya menerima impaknya

2:21 PM MYT

 

HANGZHOU – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pendekatan berteraskan etika terhadap kecerdasan buatan (AI) serta rejim perdagangan digital yang lebih terbuka dan berasaskan peraturan untuk memastikan negara-negara membangun turut meraih manfaat daripada kemajuan teknologi.

Berucap pada majlis perasmian Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Kelima di sini, beliau mengiktiraf kemajuan China dalam bidang visualisasi dan AI serta peranannya dalam berkongsi kemajuan teknologi dengan negara-negara Selatan Global.

“Inilah yang pada pandangan saya amat luar biasa mengenai kepimpinan China dan kesediaan mereka untuk terus memberikan makna dan erti sebenar kepada globalisasi,” kata beliau.

Ekspo selama lima hari yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Besar Hangzhou dirasmikan oleh Perdana Menteri Li Qiang dan merupakan antara platform ekonomi digital utama China yang mengetengahkan AI dan kerjasama global.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata matlamat Malaysia dalam bidang AI adalah jelas, iaitu meningkatkan produktiviti, membantu syarikat kecil bersaing dan membawa industri ke arah aktiviti bernilai tinggi selain memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada perubahan teknologi berbanding hanya menerima impaknya.

“Prinsipnya kekal, sama ada kita mengawal selia AI atau AI mengawal kita,” kata beliau, sambil menggesa rangka kerja berasaskan etika diwujudkan supaya inovasi dan kemajuan teknologi dapat memberi manfaat kepada manusia.

Beliau berkata ini merupakan isu asas yang menyentuh masalah berulang berkaitan jurang digital terutamanya ketika negara mengejar kemajuan teknologi yang pesat dalam keadaan ketidaksamaan sosioekonomi yang berterusan.

 “Pertumbuhan pesat AI, misalnya, mungkin menjadi aspirasi kebanyakan negara tetapi apakah manfaat sebenar yang akan diperoleh manusia jika perkembangan sedemikian hanya melebarkan jurang antara negara kaya dan negara sedang membangun, ekonomi maju dan ekonomi sedang membangun?

“Ini bukan ketakutan yang direka atau dibesar-besarkan, sebaliknya kebimbangan mendalam terhadap kesejahteraan wilayah, negara dan komuniti.

“Persoalannya ialah sama ada teknologi ini akan memberikan negara-negara membangun lebih banyak ruang untuk menentukan masa depan mereka sendiri atau membiarkan mereka bergantung pada teknologi yang dibangunkan di tempat lain,” kata beliau.

Anwar berkata kemajuan ekonomi sebenar tidak dapat dicapai secara berasingan manakala pengembangan teknologi yang mampan tidak dapat kekal tanpa mengambil kira jurang teknologi.

Lawatan kerja selama tiga hari Perdana Menteri ke Shanghai dan Hangzhou berakhir hari ini.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah US$113.82 bilion (RM456.68 bilion) untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini. – September 24, 2026

Topics

 

◉ Hangat

The Formula for F1’s return to Sepang – Dr Helmy Haja Mydin

The biggest race turnout at the SIC to date is enough cause to consider a resurrection of the Malaysian GP

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Shadow AI in public sector raises questions over governance and data security – KV Soon

Concerns emerge over the use of AI agents linked to an official work email, highlighting the need for stronger oversight, accountability and safeguards

◉ Related