KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 13 Oktober ini bagi mendengar permohonan Perikatan Nasional (PN) untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar notis yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) terhadap gabungan berkenaan.
Prosiding itu dijadual didengar di hadapan Hakim Datuk Azizan Md. Arshad. Ia disahkan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali kepada wakil media.
Permohonan itu dibuat PN berikutan notis RoS pada bulan lepas yang menggantung semua aktiviti gabungan berkenaan selepas menerima aduan rasmi daripada parti Bersatu antaranya mengenai dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.
Terdahulu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada sidang media hari ini, berkata permohonan itu difailkan lima setiausaha agung parti komponen gabungan berkenaan sebagai pemohon, hari ini.
Mereka terdiri daripada beliau sendiri selaku Setiausaha Agung PN dan PAS; Wong Chia Zhen (Gerakan), Satish Kumar (Parti Rakyat India Malaysia (MIPP)), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Parti Wawasan Negara) dan Datuk Sazmi Miah yang merupakan Setiausaha Agung Parti Pejuang.
PN menamakan Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai responden pertama dan kedua.
Berdasarkan dokumen yang diperolehi media, PN mendakwa, jika perintah penggantungan kegiatan itu tidak ditangguh atau dibatalkan sebelum hari penamaan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, ia akan menjejaskan penyertaan gabungan itu pada PRN berkenaan.
PN turut memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat Rabu ini bagi menetapkan tarikh writ pilihan raya, penamaan calon dan pengundian PRN Melaka ke-16.
Gabungan itu mendakwa RoS tidak mempunyai kuasa menentukan sama ada Bersatu masih menjadi anggota parti, sebaliknya perkara itu sepatutnya diputuskan mengikut Perlembagaan PN.
Justeru mereka memohon perintah certiorari bagi membatalkan perintah penggantungan bertarikh 23 September 2026 yang dibuat mengikut subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966, yang menggantung semua aktiviti PN kecuali bagi tujuan menjawab notis pembatalan pendaftaran.
Mereka turut mencabar notis bertarikh 22 September 2026 mengikut subseksyen 13(2) akta sama yang menyatakan niat untuk membatalkan pendaftaran PN selepas 30 hari.
Takiyuddin berkata, PN turut memohon deklarasi berhubung kesahan notis dan perintah yang dikeluarkan di bawah Subseksyen 13(2) dan 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.
Pada 24 September lalu, RoS mengesahkan semua kegiatan PN digantung dan perintah berkenaan dilakukan mengikut Subseksyen 13(2A) Akta 832.
RoS menegaskan notis berkenaan bertujuan meminta PN memberikan penjelasan berkenaan aduan yang dilaporkan oleh Bersatu kepada jabatan berkenaan dan ia bukan keputusan pembatalan pendaftaran.
Sebelum ini, RoS mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Bersatu dengan antaranya mengenai dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu. – 5 Oktober, 2026
