◉ HEADLINES

Ahmad Faizal bukan lagi Ketua Penerangan PN, Pengerusi PN Perak: Sumber

Sumber parti berkata, pemecatan itu dilakukan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat PN, Februari lalu

5:33 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu didakwa bukan hanya dipecat daripada jawatan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) tetapi juga Pengerusi PN Perak.

Bercakap kepada Scoop, sumber parti berkata, pemecatan itu dilakukan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat PN, Februari lalu.

“Pemecatan ini disebut oleh Presiden dalam mesyuarat PN sebelum ini (Februari) bahawa Faizal akan diganti dengan Radzi (Datuk Seri Radzi Jidin) untuk jawatan Ketua Penerangan PN.

“Cuma selepas itu belum ada pengumuman rasmi dan penyerahan watikah.

“Jawatan Pengerusi PN Perak dijangka akan digalas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Ketua bahagian Bersatu dan PAS di Perak pun mahukan Hamzah untuk mengganti Ahmad Faizal,” katanya hari ini.

Ditanya bila pengumuman rasmi akan dilakukan, sumber berkata, perkara itu perlu menunggu mesyuarat PN yang seterusnya diadakan.

“Tunggu tarikh mesyuarat PN seterusnya, kebiasaan dibuat dua bulan sekali, tapi sekarang Pengerusi di Australia jadi perlahan sedikitlah untuk panggil mesyuarat,” katanya.

Ditanya punca Faizal dipecat daripada jawatan, sumber berkata, ramai yang tidak berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan Ahmad Faizal.

“Antara faktor utama kerana tidak menunjukkan prestasi yang baik, dia tidak ‘perform’.

“Sekarang dia nak minta ‘nyawa’ dikekalkan, jadi terpaksa bergantung dengan pemimpin dilantik ke dalam parti bukan melalui pemilihan, pemimpin ini menjadi talian hayat dia.

“Ahmad Faizal masih pegang jawatan Pengerusi Bersatu Perak, itu pun sebab Presiden ‘beri muka’ sahaja,” katanya.

Terdahulu desas desus mengenai kedudukan Ahmad Faizal sebagai Ketua Penerangan PN timbul apabila Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan mempengerusikan mesyuarat Jabatan Penerangan dan Komunikasi gabungan parti politik itu.

Perkara itu didedahkan Ketua Penerangan PA, Ahmad Fadhli Shaari menerusi satu hantaran di laman Facebook yang menyatakan mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Radzi dengan tertera perkataan ‘Ketua Penerangan PN’.

Ahmad Faizal sebelum ini juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Bersatu dan PN Negeri Sembilan namun digantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker pada Januari 2024. – 18 Mei, 2025

Topics

 

◉ Hangat

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

◉ Related