◉ HEADLINES

Baju oren tidak perlu dipakai sebelum individu didakwa: Anwar

Perdana Menteri berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan bagi mengelak persepsi negatif masyarakat terhadap individu terbabit memandangkan proses siasatan masih berjalan dan mereka belum berdepan sebarang pertuduhan

5:11 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Individu yang memberikan kerjasama sepenuhnya dalam sesuatu siasatan tidak perlu dipakaikan baju tahanan berwarna oren ketika dibawa ke mahkamah sebelum mereka dituduh secara rasmi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan bagi mengelak persepsi negatif masyarakat terhadap individu terbabit memandangkan proses siasatan masih berjalan dan mereka belum berdepan sebarang pertuduhan.

“Semalam saya juga sampaikan (beritahu), sebelum pendakwaan atau sebelum dihadapkan dan didakwa, baju oren tidak perlu (pakai),” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, Ampang Jaya hari ini.

Selasa lepas, seorang bekas menteri dibawa ke mahkamah dengan memakai baju tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga bagi proses permohonan reman berhubung siasatan isu pajakan hotel berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) di Arab Saudi.

Malah dalam beberapa kes reman sebelum ini, terdapat kritikan terhadap pemaian baju tahanan SPRM berwarna oren memandangkan mereka baru ditahan untuk siasatan dan tidak didakwa di mahkamah lagi.

Anwar berkata, beliau juga menghormati pandangan pelbagai pihak mengenai perkara itu.

“Setakat ini saya menghormati pandangan kerana ada orang yang rasanya bagi kerjasama dalam siasatan, tidak perlulah dikenakan (dipakaikan) baju jingga kerana ia akan memberi persepsi berbeza,” katanya. – 4 September, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

◉ Related